Miri Marathon 2025 Dijangka Tarik 8,000 Peserta

Disiarkan pada 16 Jan 2025
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Miri Marathon 2025 dijangka menarik seramai 8,000 peserta dari 40 negara.

Timbalan Menteri Pelancongan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, Miri Marathon 2025 dijadualkan berlangsung pada 13 April depan.

Jelasnya, acara ini akan diadakan di Jalan Merpati, Miri dengan pelbagai kategori larian seperti Full Marathon (42.195km), Half Marathon (21km), 10km Speed Run dan 5km Fun Run.

Jelasnya setakat 12 Januari lepas, seramai 5,118 pelari telah mendaftar dengan 46 peratus daripadanya merupakan peserta antarabangsa.

Sebagai acara yang diiktiraf oleh World Athletics dan Association of International Marathons and Distance Races (AIMS), Miri Marathon 2025 juga menjadi platform kelayakan rasmi untuk Abbott World Marathon Majors Age Group World Championships.

Dalam pada itu, laluan larian pula direka untuk mempamerkan keindahan mercu tanda, taman, dan pantai Miri sekali gus menjadikan acara ini unik dan mempromosikan keindahan bandaraya ini.

Dengan semangat perpaduan dan penyertaan antarabangsa yang semakin meningkat, Miri Marathon 2025 dijangka menjadi salah satu acara terbaik di Malaysia pada tahun ini.-EDISI UKAS