Enam Projek RTP DUN Repok Siap Sepenuhnya

Disiarkan pada 01 May 2024
Sumber Berita: UKAS



SARIKEI: Sebanyak enam lagi projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2023 yang dilaksanakan di kawasan Repok kini siap sepenuhnya.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato' Sri Huang Tiong Sii berkata, komitmen kerajaan dalam menyediakan kemudahan yang diperlukan rakyat terserlah apabila siapnya projek RTP tersebut.

Menurutnya, peruntukan ini disalurkan melalui Projek RTP dengan agensi pelaksananya adalah Majlis Daerah Sarikei (MDS).
“Pelaksanaan projek membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memastikan rakyat mendapat manfaat daripada kemudahan yang disediakan.

“Saya berharap semua projek yang dilaksanakan ini memberi manfaat kepada seluruh penduduk yang terlibat,” ujarnya.

Projek itu termasuk bina baru pagar tokong di Tokong Di Mu, membekal atap dan pemasangan pendawaian utama di Rumah Jalang Embas, bina baru parit di Rumah Buni Bajau, bina baru paip kumbahan di Rumah Anong Bunsi, merata tapak di belakang rumah panjang Rosyvia Ubak dan merata tapak di depan rumah panjang Nyila Kasim.

Penyerahan tapak projek berkenaan daripada pegawai MDS kepada wakil dari pihak tokong dan rumah panjang telah disaksikan oleh Kapitan Ling Dien Yong yang mewakili Dato' Sri Huang pada Isnin.

Turut hadir Penolong Jurutera Majlis Daerah Sarikei Joviana Joklin, Kr Anthony Suding serta wakil-wakil kontraktor.-EDISI UKAS