Cadangan Beri Status PR Kepada Pelabur Luar Idea Bijak

Disiarkan pada 01 May 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Cadangan Kerajaan Sarawak untuk memberi status Penduduk Tetap (PR) kepada pelabur dari Semenanjung atau Sabah yang terlibat dalam pembangunan negeri ini mendapat respons baik dari pemain industri tempatan.
 
Presiden Persatuan Kontraktor Petroleum Sarawak (SPECA) Dato Rahman Lariwoo menyifatkan cadangan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dengan menetapkan syarat kepada pelabur yang mahu mendapatkan status PR di Sarawak perlu memasukkan minimum RM2 juta ke dalam akaun deposit tetap negeri atau membeli hartanah bernilai RM1.5 juta ke atas sebagai idea yang bernas.
 
Katanya, ramai rakan perniagaan beliau di Kuala Lumpur berminat untuk mengambil peluang ini kerana menyedari potensi besar Sarawak dalam pelbagai industri khususnya tenaga baharu yang sedang rancak dilaksanakan oleh kerajaan negeri.
 
“Mereka sangat berminat dengan cadangan ini kerana tahu politik di Sarawak adalah stabil, tidak seperti di Semenanjung Malaysia.
 
“Mereka mahu melabur di sini kerana Sarawak mempunyai banyak sumber dan bersedia menyumbang kepakaran dan idea untuk bersama-sama membangunkan negeri ini.
 
“Melalui kerjasama pintar ini, saya yakin ekonomi Sarawak akan dapat dipacu ke tahap yang lebih tinggi selepas ini, sekali gus membantu merealisasikan visi Premier Sarawak untuk menjadikan ekonomi negeri ini sebagai antara yang terbesar di Malaysia.”
 
Beliau berkata demikian ketika dihubungi pada Selasa bagi mengulas mengenai perkara tersebut.
 
Dato Rahman yang juga Presiden Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA) malah yakin, pelabur dari luar negara juga berminat untuk menjadi penduduk negeri ini sekiranya diberi peluang.
 
Cadangan untuk mewajibkan ahli perniagaan yang berhasrat untuk berhijrah ke Sarawak dan terbabit dalam pembangunan ekonomi supaya memasukkan RM2 juta ke dalam bank milik kerajaan diutarakan oleh Timbalan Perdana Menteri Dato’ Sri Fadillah Yusof dalam satu majlis pada Sabtu.
 
Ia kemudiannya disokong Premier Sarawak ketika ditanya media dalam satu majlis pada Ahad namun menetapkan tawaran tersebut hanya diberikan kepada pelabur yang boleh menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri ini.
 
"Sekarang ramai ahli perniagaan menyatakan hasrat untuk berhijrah ke Sarawak kerana ekonomi kita semakin kukuh dan sudah berada dalam kedudukan tiga teratas di negara ini mengatasi Johor.
 
"Sebab itu saya amat bersetuju dan mengalu-alukan cadangan Dato’ Sri Fadillah Yusof untuk membenarkan ahli perniagaan berpindah ke Sarawak.
 
"Syarat seperti perlu membeli rumah pada harga minimum RM1.5 juta akan menjana pembangunan perumahan Sarawak dan mereka hanya akan diberi taraf PR bukan terus mendapat taraf kerakyatan Sarawak,” menurut Datuk Patinggi Abang Zohari. - EDISI UKAS