Transformasi Sektor Pertanian Sarawak

Disiarkan pada 16 Jan 2025
Sumber Berita: UKAS


BINTANGOR: Sektor pertanian di Sarawak perlu menjalani transformasi dengan beralih kepada penggunaan kaedah baharu berasaskan teknologi dan jentera terkini untuk menjana pulangan yang lebih baik sekali gus menjamin keselamatan makanan di negeri ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata penggunaan teknologi berasaskan digital dan jentera terkini akan memacu perkembangan sektor pertanian negeri khususnya penanaman padi bagi menjana pendapatan lumayan kepada para petani.

Dalam hal ini katanya, kerajaan memerlukan penglibatan generasi baharu yang berkemahiran dalam bidang usahawan tani bagi memperkasakan lagi sektor makanan.

“Sebab itu saya rasa masanya sudah tiba. Sekarang musim digital. Keduanya musim menggunakan jentera.

“Ketiganya kita menggunakan anak kita yang ada latar belakang jurutera dan latar belakang pertanian yang dipelajari mereka di universiti.

“Kita terpaksa gunakan anak-anak kita yang pandai ini untuk menukar cara kita menanam padi tanpa menggunakan cara lama," jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Pelancaran Projek Padi Hybrid Dan Kilang Pemprosesan Beras Onemas Agriculture Sdn Bhd di Bintangor pada Khamis.

Datuk Patinggi Abang Zohari menambah Sarawak juga menyasarkan untuk tidak lagi mengimport beras dari luar jika berjaya mencapai sasaran pengeluaran 240,000 tan metrik beras yang ditanam di 14,000 hektar kawasan penanaman padi di seluruh negeri.

Malah katanya Sarawak bercadang untuk mengeksport beras ke luar sekiranya jumlah sasaran pengeluaran beras itu berjaya dicapai.

“Sekarang ini kita import, hanya 30 peratus kita keluarkan, 70 peratus import.

“Beras yang kita gunakan di Sarawak hanya kira-kira 240,000 tan metrik. Kalau kita dapat mengeluarkannya, kita tidak perlu lagi mengimport beras.

“Kalau kita tambah ‘smallholders’, orang kampung, jadi pengeluaran beras mungkin lebih dari 240,000 (tan metrik). Kalau lebih, kita eksport,” tambah beliau.

Hadir sama Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Martin Ben, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Datuk Jefferson Jamit Unyat, Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah) Tan Sri William Mawan Ikom, ADUN Meradong Datuk Ding Kuong Hiing, Pengerusi Onemas Agriculture Sdn Bhd Datuk Stephen Sia serta tetamu kehormat lain. - EDISI UKAS