LCDA & Tabung Baitulmal Sarawak Sumbang Baucar Pembelian Peralatan Sekolah

Posted on 16 Jan 2025
Source of News: Ukas


KUCHING: Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) bersama Tabung Baitulmal Sarawak menyumbang baucar pembelian peralatan sekolah kepada seramai 60 pelajar.

Dalam satu kenyataan media pada Khamis, LCDA berkata, 60 pelajar tersebut terdiri daripada tiga buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Gersik, SK Pulo Ulu dan SK Matu Baru bagi menyertai program Jom Kembali Ke Sekolah di sini.

“Program itu merupakan sebahagian daripada Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) tahunan yang bertujuan meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak mereka.

“Bantuan yang dihulurkan oleh LCDA berbentuk baucar berjumlah RM200 setiap pelajar bagi pembelian peralatan sekolah seperti pakaian, stokin, kasut dan alat tulis manakala Tabung Baitulmal menyediakan bantuan beg sekolah dan peralatan tulis,” jelasnya.

Majlis penyerahan sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh Pemangku Pengurus Besar LCDA, Kusyairi Bostani.

LCDA dan Tabung Baitulmal Sarawak juga merancang untuk memperluaskan lagi program ini pada masa depan melalui kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan swasta bagi membantu dalam meningkatkan mutu pendidikan masyarakat setempat.

Katanya, ini sekaligus dapat mengeratkan hubungan antara agensi-agensi kerajaan yang terlibat dengan Projek Darul Hana dengan penduduk-penduduk Kampung Seberang Hilir.

Turut hadir ialah Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Hazali Madihi, Ketua Bahagian Agihan Tabung Baitulmal Sarawak Mohamat Shukri Samor dan Pengurus Kanan Bahagian Hal Ehwal Korporat LCDA Saiful Bahari Amra Ramly. -EDISI UKAS