Delegasi Sarawak Terokai Sempadan Baharu Dalam Pengeluaran SAF

Disiarkan pada 15 Jan 2025
Sumber Berita: UKAS


SINGAPURA: Delegasi Sarawak yang diketuai oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, menyertai pelancaran alat ujian pengeluaran karbon dioksida dan hidrogen kepada bahan api penerbangan lestari (SAF) di Jurong, Singapura bersama Institut Kelestarian untuk Kimia, Tenaga dan Alam Sekitar (ISCE2) serta IHI Corporation.

Menurut satu kenyataan hari ini, acara tersebut mempamerkan teknologi SAF yang canggih dan berpotensi memainkan peranan transformatif dalam peralihan tenaga global.

Mengiringi Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak ialah Setiausaha Tetap Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak (MEESty), Datu Abg Ahmad Abg Morni, Ketua Bahagian Tenaga MEESty, Dr. Nurleyna Yunus, Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Singapura (STATOS), Chew Chang Guan, dan Ketua Bahagian Pembangunan Korporat dan Ekonomi MEESty, Dr. Kho Lip Khoon.

“Lawatan delegasi ini bertujuan menilai kebolehlaksanaan teknologi pengeluaran karbon dioksida dan hidrogen kepada SAF di Sarawak, dengan memanfaatkan sumber yang ada di wilayah ini untuk memenuhi permintaan global yang semakin meningkat terhadap bahan api lestari.

“Penglibatan ini juga merangkumi perbincangan dengan IHI Asia Pacific Pte. Ltd. untuk meneroka peluang kerjasama dan pelaburan,” katanya lagi.

Sementara itu, Dato Sri Dr Muhammad Abdullah berkata potensi SAF selaras dengan visi Sarawak untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan sambil menyumbang kepada matlamat global dalam pengurangan karbon.

Penggunaan teknologi SAF akan meningkatkan komitmen Sarawak terhadap kelestarian dan memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju dalam sektor tenaga hijau, mencerminkan dedikasi negeri itu untuk mencapai masa depan rendah karbon. -EDISI UKAS