JKR Tunjang Pembangunan Sarawak

Disiarkan pada 15 Jan 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak menjadi tunjang penting dalam menyediakan pelbagai pembangunan kepada rakyat.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, JKR Sarawak telah banyak membantu menyelesaikan projek-projek sakit di wilayah ini, sekaligus menepati sasaran Sarawak untuk meneruskan pembangunan penting terutamanya kepada rakyat di kawasan luar bandar.

Jelas beliau, ini termasuk pencapaian Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) menggunakan dana RM799.52 juta bagi tujuan pembangunan.

“Kerana tanpa anda pada tahun 2024, kita tidak akan dapat membelanjakan sebanyak RM799.52 juta yang diperuntukkan.

“Jadi, selepas semua kerja keras anda, kita berjaya membelanjakan 95.2 peratus daripada peruntukan kementerian untuk pembangunan,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Perhimpunan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini pada Rabu.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada JKR Sarawak untuk terus cemerlang terutamanya bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini bagi menyelesaikan isu kerosakan infrastruktur khususnya jalan ekoran cuaca buruk.

Bagi beberapa sektor yang kurang memuaskan, beliau berharap agar JKR Sarawak bersama MIPD dapat memberikan peningkatan pada tahun ini khususnya bagi perbelanjaan pembangunan bangunan awam dan bangunan kerajaan.

“Setelah meneliti prestasi 95 peratus perbelanjaan pembangunan tahun 2024, saya perhatikan beberapa sektor tidak menunjukkan prestasi sebaik yang lain.

“Sebagai contoh, P004 iaitu bangunan awam, kita hanya berjaya membelanjakan 83 peratus daripada bajet, manakala P003, bangunan kerajaan, kita membelanjakan 89 peratus,” jelasnya.

Dalam majlis itu, Datuk Amar Douglas Uggah yang juga Menteri MIPD diberi penghormatan untuk melancarkan Jadual Kadar Harga 2024 JKR Sarawak dan Reka Bentuk Jalan Konkrit bagi Garis Panduan Standard JKR R1.

Turut disampaikan ialah Anugerah Rekrut Baharu Cemerlang kepada Norsila Noh, Vancester Ripon dan Esther Tay Sze May manakala Ts Chang Teck Khung dan Ts Lau Pit Hwa masing-masing menerima Anugerah Merit Penyeliaan Projek dan Anugerah Cemerlang Pelaksanaan Projek.

Hadir sama, Timbalan-Timbalan Menteri MIPD Datuk Ir Aidel Lariwoo dan Dato Majang Renggi, Setiausaha Tetap MIPD Datu Chiew Chee Yaw, Pengarah JKR Sarawak Ir Dr Cassidy Morris serta tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS