BINTANGOR: Kerajaan Sarawak terus komited meningkatkan taraf pendidikan dan prasarana dengan meluluskan beberapa projek penting di kawasan Sg Mador, Bintangor.
Buktinya apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing mengumumkan kelulusan dana RM3 juta untuk menaik taraf saluran paip di kawasan perumahan setempat yang telah bermula sejak Januari.
Langkah ini katanya diharap dapat meningkatkan kualiti hidup penduduk dengan kemudahan asas yang lebih baik.
Selain itu, beliau turut mengumumkan peruntukan Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bernilai RM100,000 untuk menaik taraf Dewan Serbaguna SJK (C) Kung Cheng pada tahun 2025.
Sekolah tersebut juga menerima geran khas projek kecil luar bandar (MRP) sebanyak RM5,000 untuk melaksanakan aktiviti tahunan PIBG tahun hadapan.
Dalam Majlis Penyampaian Hadiah SJK (C) Kung Cheng pada Rabu, Datuk Ding menzahirkan penghargaan kepada para pelajar atas pencapaian mereka dalam pelbagai bidang.
“Kejayaan ini bukan hanya bukti usaha gigih pelajar, tetapi juga hasil dedikasi para guru dan sokongan ibu bapa,” katanya.
Datuk Ding turut menegaskan kepentingan pendidikan digital untuk melahirkan generasi berdaya saing dan menyeru semua pihak, termasuk kerajaan, pendidik, dan ibu bapa agar berganding bahu dalam mencapai matlamat ini.
Dengan pelbagai inisiatif yang diumumkan, sekolah ini bukan sahaja diharap terus cemerlang, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan komuniti setempat.
Hadir sama dalam majlis ialah Pegawai Pendidikan Daerah Meradong Sharifah Idawati Wan Ahmad, Guru Besar SJK (C) Kung Cheng Chiew Hua Kin dan tetamu jemputan lain.-EDISI UKAS