Bengkel Pemerkasaan KMKK & JKKK Pemangkin Pembangunan Saribas

Disiarkan pada 15 Jan 2025
Sumber Berita: UKAS


DEBAK: Bengkel Pemerkasaan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) disifatkan sebagai pemangkin pembangunan.

Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Datuk Mohammad Razi Sitam menegaskan kepentingan bengkel seperti ini dalam memperkukuhkan peranan KMKK dan JKKK sebagai barisan hadapan pembangunan komuniti.

“Saya berharap semua ketua kampung mengamalkan sikap toleransi dan kerjasama yang tinggi agar projek pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar dan sejajar dengan hasrat kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penangguhan Bengkel Pemerkasaan KMKK JKKK SARIBAS pada Selasa.

Dalam pada itu, Datuk Mohamad Razi turut menyeru ketua kampung agar memberi keutamaan kepada projek yang benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

Selain itu, beliau mencadangkan setiap ketua kampung memiliki profil kampung masing-masing bagi memastikan pengurusan lebih sistematik dan peka terhadap keperluan semasa kampung.

Datuk Mohammad Razi juga memaklumkan bahawa separuh daripada peruntukan projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) beliau pada tahun ini akan digunakan untuk pembinaan parit yang menjadi antara keutamaan pembangunan di kawasan Saribas.

Sebagai tambahan, beliau mengumumkan inisiatif kerajaan, Senior Citizen Health Benefits (SCHB) yang akan dilancarkan pada Februari tahun ini melalui kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Betong.

Majlis tersebut dihadiri oleh Pemangku Timbalan Residen Hamdan Katang mewakili Residen Bahagian Betong, Wakil Pegawai Daerah Betong Danny Lim, Penolong Tadbir Menguasa Daerah Kecil Spaoh Mohamad Khairurani Mohamad Brahim, Penolong Tadbir Menguasa Daerah Kecil Debak Temenggong Piee Alwi serta tetamu lain.-EDISI UKAS