Kerajaan Sarawak Komited Pastikan Kebajikan Rakyat Sentiasa Terbela

Disiarkan pada 15 Jan 2025
Sumber Berita: UKAS


DALAT: Kerajaan Sarawak terus komited memastikan rakyat yang memerlukan mendapat bantuan demi kelangsungan hidup dan kesejahteraan terutamanya ketika musim perayaan.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, inisiatif seperti Majlis Sejambak Kasih merupakan tradisi tahunan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak untuk memastikan penerima bantuan tidak merasa terpinggir.

"Majlis ini menunjukkan bahawa kita sentiasa bersama rakyat, baik di saat susah mahupun senang dan memastikan mereka dapat merayakan perayaan dengan lebih ceria," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sejambak Kasih Tahun Baharu Cina Daerah Dalat di Kompleks Kebajikan Dalat pada Selasa.

Dalam majlis tersebut, seramai 83 penerima bantuan menerima hamper dan wang tunai sebagai persediaan menyambut perayaan.

Dato Sri Fatimah turut menyeru ibu bapa dan penjaga agar sentiasa mengawasi anak-anak sepanjang musim monsun timur laut terutamanya ketika cuaca tidak menentu demi memastikan keselamatan mereka terjamin.

Beliau juga menggalakkan orang ramai untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sekiranya keadaan memerlukan.

Dalam majlis sama, Dato Sri Fatimah turut menyampaikan sijil penghargaan, pelanjutan dan pelantikan baharu kepada 14 Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Dalat.

Selain itu, tiga individu turut menerima Kenyalang Gold Card pada majlis tersebut.

Hadir sama Residen Bahagian Mukah Datu Kueh Lei Poh, Pegawai Daerah Dalat Mathew Hubert, Timbalan Pengarah JKM Sarawak Norhayati Abdul Rahman dan Pegawai JKM Mukah Dariel Thiong Yiew Seng.-EDISI UKAS