BINTANGOR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing menegaskan kepentingan penerapan nilai holistik dalam kalangan murid sekolah semasa Majlis Apresiasi dan Penyampaian Hadiah SK Ulu Binatang 2025 yang berlangsung meriah pada Rabu.
Tegasnya pembangunan Jasmani, Emosi, Rohani, Sosial, dan Intelektual (JERSI) adalah asas penting untuk membentuk generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga berperibadi mulia dan berdaya saing.
“Pendidikan bukan sekadar tentang kejayaan akademik, tetapi juga bagaimana kita membina sahsiah, emosi yang stabil, dan keterampilan sosial yang baik.
"Ini adalah asas kepada pembentukan murid yang menyeluruh dan bersedia menghadapi cabaran masa depan,” jelasnya dalam ucapan.
Dalam majlis sama, Datuk Ding turut mengumumkan beberapa inisiatif untuk menyokong perkembangan SK Ulu Binatang, termasuk geran khas Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM5,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Ulu Binatang bagi melaksanakan aktiviti tahunan 2025.
Selain itu, pembiayaan sebanyak RM3,600 untuk pengangkutan lawatan sambil belajar murid Tahun 6 serta peruntukan bagi projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bernilai RM100,000 turut diberikan untuk menaiktaraf prasarana Dewan Serbaguna sekolah yang akan dilaksanakan pada tahun 2025.
Dalam pada itu, beliau turut memuji usaha guru dan ibu bapa dalam memastikan kejayaan pendidikan murid dan menyeru agar kerjasama ini diteruskan untuk pembangunan sekolah yang berterusan.
Tekannya, kejayaan murid dan pembangunan sekolah bergantung kepada hubungan yang erat antara pihak sekolah, ibu bapa, dan komuniti setempat.
“Melalui pendekatan holistik seperti ini, kita dapat mencapai visi pendidikan yang benar-benar inklusif dan berimpak tinggi,” tambah beliau.
Majlis tersebut menyaksikan penghargaan kepada murid yang cemerlang dalam akademik, kokurikulum dan sahsiah yang dihadiri seramai 120 orang termasuk Guru Besar SK Ulu Binatang Alim Johan dan Yang Dipertua PIBG Bala Gawan.-EDISI UKAS