MERADONG: Ahli Dewan undangan negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing, telah meluangkan masa meninjau dan memantau persiapan raptai Perasmian Kilang Padi Onemars Agriculture Sdn Bhd di Sungai Padi, Meradong pada Selasa.
Lawatan tersebut bertujuan memastikan segala persiapan berjalan lancar menjelang majlis perasmian pada 16 Januari ini.
Dalam sesi raptai itu, taklimat telah disampaikan oleh Pemangku Residen Sarikei Badjuri Bidin dengan kehadiran Pemangku Pegawai Daerah Meradong Thomas Geoffrey Kendawang, Pegawai Pertanian Bahagian Sarikei Freddy Paul Giang Engie, serta ketua-ketua dan wakil-wakil agensi kerajaan.
Selepas meninjau pentas utama, Datuk Ding bersama rombongan turut melawat kilang padi serta ladang sawah padi hibrid yang diusahakan oleh Onemars Agriculture Sdn Bhd.
Projek yang terletak di Sungai Labas dilihat sebagai langkah strategik untuk meningkatkan produktiviti dan keberdayaan sektor pertanian di kawasan tersebut.
Datuk Ding turut menyampaikan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat khususnya Onemars Agriculture Sdn Bhd atas kerjasama erat mereka dalam menjayakan raptai tersebut.
Beliau memuji dedikasi semua pihak yang memastikan kelancaran persiapan untuk program yang dianggap penting bagi memperkasakan industri padi tempatan.
Majlis perasmian kilang padi itu bakal dirasmikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg dan dijangka menarik perhatian pelbagai pihak sebagai pemacu utama pembangunan pertanian di Bintangor.-EDISI UKAS