SARIKEI: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hien telah mengadakan satu majlis Jamuan Awal Tahun 2025 sebagai usaha untuk memperkukuhkan hubungan antara ibu, bapa, guru dan komuniti sekolah berkenaan.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Ahli Parlimen Sarikei serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii di sebuah restoren di Sarikei baru-baru ini.
Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hien telah mendapat pelbagai manfaat melalui pelaksanaan projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) hasil inisiatif Dato’ Sri Huang.
Antaranya ialah pembinaan bumbung di tapak letak kereta pada tahun 2020, lapisan simen di kawasan letak kereta dan kawasan lapang tepi gelanggang pada tahun 2021, pengisian lurah di hadapan sekolah dan naik taraf bilik stor menjadi Vista Inspirasi pada tahun 2022.
Selain itu turut dilaksanakan adalah pembinaan gabion wall, penurapan lapisan batu di kawasan lapang hadapan sekolah, serta pembinaan bilik darjah ubah suai pada tahun 2023 serta yang terkini penurapan tar di kawasan lapang hadapan sekolah, pembinaan tapak letak kereta dan sistem longkang sepanjang pagar ke longkang besar.
Projek-projek ini telah meningkatkan kemudahan infrastruktur sekolah dan menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif untuk warga sekolah.
Dalam majlis sama, Dato’ Sri Huang turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM3,500 sebagai komitmen beliau terhadap pembangunan SJK Chung Hien.
Program ini berjaya mengeratkan silaturahim antara warga sekolah dan komuniti, sekaligus menunjukkan komitmen tinggi pihak PIBG dan pemimpin setempat dalam memastikan pendidikan terus maju di kawasan ini.-EDISI UKAS