SIBU: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) komited untuk menangani isu gangguan seksual melalui pelaksanaan inisiatif program-program kesedaran seperti Program Kasih Komuniti dan Advokasi Antigangguan Seksual.
Menurut Menterinya Dato’ Sri Nancy Shukri, dalam tempoh dua tahun, lebih 100 program advokasi antigangguan seksual telah berjaya dilaksanakan.
Program ini jelasnya bertujuan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai hak mereka, membantu mangsa gangguan seksual dan menyediakan panduan khusus dalam pengurusan aduan.
Beliau turut menekankan peranan penting Akta Antigangguan Seksual 2022 [Akta 840] sebagai langkah proaktif menangani isu ini secara sistematik.
“Sejak 2023, KPWKM telah menganjurkan lebih 100 program advokasi, termasuk Program Jerayawara KASIH KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual, melibatkan kerjasama sektor kerajaan, swasta, dan NGO,” katanya semasa berucap dalam Penutupan Program Kasih Komuniti dan Advokasi Antigangguan Seksual Sibu baru-baru ini.
Menurutnya, sehingga Disember 2024, 28 aduan gangguan seksual telah difailkan di Tribunal Bagi Antigangguan Seksual (TAGS), dengan 10 daripadanya telah selesai didengar dan diberikan keputusan.
Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), kes gangguan seksual mencatatkan peningkatan kepada 666 kes pada 2024 (sehingga Oktober) berbanding 529 kes pada 2023.
Dalam majlis yang sama, Yayasan Kebajikan Negara (YKN) turut membuka kaunter perkhidmatan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS).
Inisiatif ini menyediakan perkhidmatan psikososial secara holistik kepada kumpulan sasaran seperti wanita, kanak-kanak, keluarga, warga emas, dan OKU melalui aplikasi MyPSSS, bagi komuniti untuk mengakses pelbagai perkhidmatan KPWKM dan rakan strategik YKN termasuk khidmat kaunseling secara bersemuka.
Sesi taklimat, forum, serta penyerahan notis antigangguan seksual kepada wakil sektor kerajaan, swasta dan NGO turut berlangsung semasa program tersebut.
Program ini diharap dapat mempereratkan hubungan KPWKM dengan komuniti tempatan serta membuka peluang kolaborasi lebih luas bersama rakan strategik dalam usaha mencegah dan meningkatkan kesedaran gangguan seksual di peringkat masyarakat.-EDISI UKAS