SEBUYAU: Institusi pendidikan awal kanak-kanak termasuklah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) haruslah memanfaatkan sepenuhnya geran daripada Kerajaan Sarawak sebanyak RM5,000 bagi tujuan pembangunan awal mereka dalam pendidikan.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, geran yang disalurkan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) itu mengambil kira empat pecahan utama yang harus diberikan perhatian.
“Peruntukan Geran Tahunan Kerajaan daripada Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti sebanyak RM5000 bagi setiap institusi pendidikan awal kanak-kanak sejak tahun 2019.
“Pecahan utama daripada geran tersebut adalah penglibatan ibu bapa, latihan guru dan pengasuh, pemakanan sihat dan seimbang serta akhir sekali aktiviti pembelajaran yang menyeronokkan,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Pegawai Daerah Sebuyau, Ayuradiman Bujang sempena Majlis Hari Apresiasi Kanak-Kanak 2024/2025 yang berlangsung di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau itu memberitahu, KEMAS masih memainkan peranan yang penting untuk membasmi buta huruf terutamanya di kawasan luar bandar.
Difahamkan, seramai 107 orang kanak-kanak daripada 45 Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) dan 18 lagi daripada Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) diraikan dalam majlis tersebut.
Hadir sama, Penolong Pengarah Unit Pendidikan Kemahiran dan Pembangunan Komuniti KEMAS Sarawak Josipah Sabas, Penolong Pegawai Pendidikan Sektor Pembelajaran Unit Pendidikan Khas Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sebuyau Hironisa Abdul Karim, Pegawai KEMAS Daerah Simunjan Maimunah Latip dan Penghulu Masyarakat Melayu Kawasan Sebuyau Abu Seman Suhaili. -EDISI UKAS