KUCHING: Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) memberi komitmen mereka untuk meningkatkan lagi pengeluaran padi dari kawasan Batang Lupar.
Sehubungan itu, SADA melalui pejabat Residen Bahagian Sri Aman telah menandatangani perjanjian bersama Institut Pembangunan Sarawak bagi mengadakan kajian yang bertajuk Pemetaan Ekosistem Pengeluaran Padi di Batang Lupar.
Perjanjian yang ditandatangani oleh Pemangku Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif Institusi Pembangunan Sarawak Lelia Sim Ah Hua berlangsung di Wisma Bapa Malaysia di sini pada Selasa.
Antara objektif utama kajian ini termasuklah mengumpul profil sosio-ekonomi petani dan juga pemilik tanah di kawasan terbabit, mengenal pasti masalah atau cabaran dalam proses pengeluaran padi di kawasan jelapang padi Batang Lupar dan mencari langkah-langkah yang lebih efektif untuk meningkatkan penglibatan para petani dalam penanaman padi menggunakan kaedah dan teknologi moden.
Pengerusi SADA, Dato Sri Rohani Abdul Karim memberitahu, inisiatif kajian ini adalah untuk memastikan impian Sarawak untuk menjadi wilayah pengeluar beras di Malaysia mahupun di rantau ini menjadi kenyataan.
Hadir sama, Pegawai Tadbir Khas SADA Alfred Geling Ason dan Pegawai Daerah Lingga Frank Lani. -EDISI UKAS