Isu Petros & Petronas: Sarawak Akan Keluarkan Kenyataan Hari Ini

Disiarkan pada 15 Jan 2025
Sumber Berita: UKAS


KOTA SAMARAHAN: Sarawak dijangka mengeluarkan respon terhadap kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai isu berkaitan Petros dan Petronas hari ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memaklumkan bahawa beliau akan memberikan respons rasmi mengenai perkara tersebut.

“Kita tunggu kenyataan saya petang ini,” katanya kepada media semasa ditemui selepas melancarkan Pusat Kesihatan Prima, Hospital Pengajar UNIMAS, di sini pada Rabu.

Semalam, Datuk Seri Anwar telah memberitahu bahawa isu berkaitan Petronas dan Petros mengenai hak pengagihan gas di Sarawak telah diselesaikan.

Menurut beliau, Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 74) terus diterima sebagai rangka kerja utama pengurusan industri minyak dan gas negara.

Manakala, Ordinan Pengedaran Gas Sarawak 2016 juga tidak akan menggantikan PDA 74 dan Perlembagaan Persekutuan, termasuk undang-undang persekutuan lain.

Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Professor Dr. Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Setiausaha Persekutuan Sarawak, Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie, dan Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dr. Ahmad Hata Rasit.-EDISI UKAS