Kebajikan Rakyat Antara Agenda Utama Kerajaan Sarawak

Disiarkan pada 30 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


GEDONG: Menjaga kebajikan rakyat terus menjadi salah satu agenda utama Kerajaan Sarawak dalam usaha memastikan rakyat di negeri ini dapat hidup dalam suasana yang harmoni dan sejahtera.

Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Dato Sri Naroden Majais berkata, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg sememangnya memberi fokus penuh terhadap situasi kebajikan dan kehidupan rakyat dengan melaksanakan banyak pembangunan terutamanya dari sudut infrastruktur dan ekonomi.

"Dan ini adalah untuk kepentingan bukan sahaja kepada pembangunan sosio-ekonomi Sarawak malah,l secara tidak langsung kepada rakyat Sarawak sendiri," katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ramah Tamah Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Gedong baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, beliau telah merasmikannya bagi mewakili Premier Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong.

Dalam pada itu, Penaung PDK Gedong yang juga isteri kepada Dato Sri Naroden, Datin Sri Masnah Ahmad menyuarakan harapan beliau agar PDK Gedong akan mendapat bangunan mereka sendiri bila Ismuth Gedong dibangunkan supaya ianya dapat memberi keselesaan kepada pelajar-pelajar di sana.

"PDK Gedong sekarang menumpang sementara di bangunan dan kita berharap akan dapat tempat baru yang lebih besar dan sesuai dengan kelengkapan bilik-bilik aktiviti PPDK - bilik permainan, bilik Fisioterapi, bilik pemulihan, bilik rehat dan tidur, bilik belajar dan bilik pengajar," tambah 
Datin Sri Masnah lagi.

Dalam majlis sama, Dato Sri Naroden dan isteri telah menyampaikan sumbangan daripada Premier Sarawak dan isteri, Puan Sri Datuk Amar Jumaani Tuanku Bujang iaitu peruntukan sebanyak RM10,000 bagi membeli satu set Smart TV untuk PPDK Gedong.

Datin Sri Masnah turut menyampaikan sumbangan kepada 48 anak-anak di PDK Gedong dari pelbagai latarbelakang. -EDISI UKAS