488 Acara Ditawarkan Dalam SUKMA XXI Sarawak 2024: MSN

Disiarkan pada 30 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (SUKMA) secara rasmi bersetuju menawarkan penganjuran sejumlah 488 acara untuk temasya SUKMA XXI Sarawak 2024 yang dijadualkan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos 2024.

Majlis Sukan Negara (MSN) memberitahu, jumlah tawaran acara terbahagi kepada 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 acara campuran atau terbuka untuk 37 jenis sukan yang dipertandingkan itu diputuskan dalam mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Jelas MSN, Setiap acara perlu menyaksikan penyertaan minimum atlet daripada enam negeri untuk ianya dipertandingkan.

"Temasya SUKMA edisi ke-21 kali ini akan dilangsungkan di sembilan bahagian seluruh Sarawak iaitu Kuching dengan 25 jenis sukan, Samarahan (2), Serian (1), Sri Aman (1), Betong (1), Sibu (3), Mukah (3), Bintulu (3) dan Miri (6) bagi memastikan kemeriahannya dapat dirasai rakyat di seluruh Sarawak.

"Penganjur juga telah mengenalpasti lima Perkampungan Sukan utama bagi menempatkan atlet-atlet daripada 15 kontinjen bertanding iaitu di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Kota Samarahan, Kolej Laila Taib di Sibu, UiTM Kampus Mukah, UPM Kampus Bintulu dan IKBN Miri," kata MSN dalam satu kenyataan media pada Selasa.

MSN menambah, antara isu lain yang diputuskan oleh Jawatankuasa Tertinggi Sukma pada mesyuarat hari ini sejumlah 108 pertindihan pendaftaran atlet telah diselesaikan MSN dan Sekretariat SUKMA XXI Sarawak 2024 menerusi persetujuan bersama di antara kontinjen negeri yang terlibat.

"Sekretariat Sarawak menetapkan Detik 100 Hari menjelang SUKMA XXI Sarawak 2024 akan dilangsungkan pada 9 Mei 2024 dan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg," tambah MSN lagi.-EDISI UKAS