Kebersamaan Amat Penting Dalam Pembangunan Masyarakat

Disiarkan pada 30 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS
SELASA, 30 APRIL 2024


SARIKEI: Kebersamaan hubungan antara komuniti tempatan amat penting dalam pembangunan masyarakat di kawasan Daerah Meradong.
 
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing semasa menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2024 anjuran Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK) Daerah Meradong di Dewan Pejabat Daerah Meradong pada Isnin.
 
Katanya, majlis ini merupakan simbol kerjasama erat antara komponen masyarakat
dan berpendapat ia bukan sahaja untuk menjamu selera tetapi untuk berkenalan dengan lebih mendalam dan meluaskan jaringan perhubungan antara satu sama lain.
 
Katanya lagi, kehadiran agensi Jabatan Kerajaan bersama Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat (KMKK) Daerah Meradong menunjukkan hubungan antara komuniti tempatan amat penting dalam pembangunan masyarakat.
 
“Majlis Sambutan Hari Perayaan bukan sahaja mampu mengeratkan hubungan baik antara semua pihak bahkan dapat meraikan perayaan secara bersama yang memberi manfaat dan faedah kepada masyarakat seluruhnya.
 
“Dengan kesempatan ini juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua agensi Jabatan kerajaan Daerah Meradong kerana sentiasa memberi kerjasama sepanjang menjadi wakil rakyat di Daerah Meradong dan berharap jalinan ini akan diteruskan pada masa akan datang,” ujarnya.
 
Sementara itu, Datuk Ding mengumumkan akan menyalurkan geran khas kepada MAKSAK Daerah Meradong bernilai RM5,000 dan MAKSAK Bahagian Sarikei bernilai RM5,000 untuk menjalankan aktiviti tahunan. - EDISI UKAS