Naratif Sarawak Ambil Kesempatan Atas Krisis Politik Malaysia Adalah Tanggapan 'Jealous'

Disiarkan pada 13 Jan 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Tanggapan bahawa Sarawak mengambil kesempatan dari krisis politik yang berlaku sejak 2014 di Malaysia untuk memperolehi pendapatan yang besar hari ini adalah naratif sempit yang bersifat cemburu.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menyifatkan naratif tersebut sebagai tanggapan cemburu segelintir pihak terhadap kemajuan yang Sarawak kecapi kini hingga berupaya membentangkan bajet terbesar berjumlah RM15.8 bilion pada 2024.

"Kalau Sarawak begitu maju, jangan 'jealous'. Itu adalah naratif orang 'jealous'. Saya rasa naratif seperti ini perlu dikaji kerana naratif selalunya ‘jealous’ dan dengki yang menjadi lumrah manusia.

"Kalau itu orang itu baik mesti nak dijatuhkan maka itu niat sebegitu tidak boleh sebab kalau Sarawak maju dan makmur maka Malaysia akan maju dan makmur," katanya demikian dalam Sesi Townhall 8 Tahun Bersama Premier Sarawak 2025 di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC) di sini pada Isnin.

Bercakap lanjut mengenai krisis politik yang berlaku di Malaysia, Premier Sarawak menegaskan sentiasa mengutamakan kestabilan politik untuk memastikan Malaysia mempunyai kerajaan yang stabil.

Jelasnya, kestabilan politik amat penting terutamanya isu geopolitik yang berlaku terutamanya di Laut China Selatan yang menjadi kawasan 'permainan' kuasa besar dunia di mana Sarawak tidak mempunyai kuasa menangani isu tersebut.

"Ketegangan politik di mana Sarawak kebetulan menghadapi isu Laut China Selatan dan ini merupakan kawasan 'mainan' kuasa besar dan Malaysia adalah dalam lingkungan kawasan tersebut.

"Kalau ditakdirkan Malaysia huru hara, apakah yang terjadi? Bermakna, dalam keadaan konflik dalaman yang mampu menjejaskan Malaysia, negara ini mesti mempunyai kerajaan yang kuat, stabil untuk mempertahankan dan membangunkan Malaysia. Ini barulah naratif yang sebenar," jelasnya.

Tambah beliau, pengurusan ekonomi dan sumber-sumber dengan baik membolehkan Sarawak meningkatkan pendapatannya secara efisien.

Ujarnya, kelebihan yang Sarawak miliki disokong oleh dasar yang dilaksanakan membolehkan ekonomi Sarawak dalam keadaan terbaik di Malaysia.

Hadir sama Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, barisan Menteri Kabinet Sarawak dan Persekutuan, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, barisan Timbalan Menteri Kabinet Sarawak dan Persekutuan, ketua-ketua jabatan serta dif-dif kenamaan yang lain. -EDISI UKAS