KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK) menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) komited dalam memastikan keselamatan mangsa banjir di negeri ini.
Dalam satu kenyataan media pada Isnin, ia berkata bahawa fokus utama JKMS adalah untuk memastikan penyediaan bekalan makanan asas dan sokongan kepada individu yang terjejas.
Menurutnya, bekalan makanan akan disalurkan sama ada mangsa dipindahkan ke antara 661 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau kekal di rumah panjang yang tidak terjejas tetapi komunikasi terputus akibat banjir.
“Bagi mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS, JKMS memastikan mangsa banjir dihidangkan dengan makanan bermasak.
“Manakala, bagi mangsa yang berada di kampung terpencil dan rumah panjang atau yang tiada kemudahan jalan raya, kita telah menubuhkan sebanyak 27 pangkalan hadapan di lokasi strategik.
“Pangkalan ini membolehkan JKMS melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang atau penduduk kampung mengagihkan bekalan makanan kering dengan cepat dan cekap bagi memastikan tiada keluarga yang tidak makan pada masa kritikal ini.
“Langkah proaktif ini mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak terhadap kesiapsiagaan dan responsif semasa bencana,” jelasnya.
Sementara itu, JKMS turut ditugaskan untuk menjaga kesejahteraan fizikal dan mental mangsa banjir di semua PPS termasuk menyediakan tempat tinggal yang mencukupi dan makanan serta menangani keperluan emosi dan psikologi mangsa yang terjejas.
Bersama-sama dengan rakan kongsi iaitu Angkatan Pertanahan Malaysia (APM) dan Jabatan Kesihatan Sarawak, JKMS memastikan persekitaran yang selamat dengan perhatian khusus diberikan kepada kanak-kanak, warga emas dan kumpulan yang terdedah.
Dalam pada itu, JKMS turut menggesa para ibu bapa untuk terus berwaspada dan mengawasi anak-anak mereka sepanjang tempoh ini kerana air banjir boleh menimbulkan risiko yang serius, dan memastikan keselamatan kanak-kanak harus menjadi keutamaan.
“Kanak-kanak tidak boleh dibenarkan bermain air banjir kerana potensi bahaya seperti arus deras, serpihan, haiwan atau penyakit bawaan air.
“Kita juga menggalakkan semua penduduk di kawasan yang sering dilanda banjir supaya sentiasa bermaklumat dan mematuhi nasihat dan arahan yang dikeluarkan oleh pengerusi Jawatankuasa Bencana Bahagian atau Daerah.
“Arahan pemindahan hendaklah dipatuhi tanpa berlengah-lengah untuk mengelakkan risiko. Pematuhan awal bukan sahaja memastikan keselamatan keluarga tetapi juga membolehkan responden kecemasan menjalankan tugas mereka dengan lebih berkesan.
“Kita menggesa orang ramai supaya sentiasa berwaspada semasa musim tengkujuh dan melaporkan sebarang keperluan mendesak di kawasan masing-masing kepada pihak berkuasa,” katanya. -EDISI UKAS