Didik Pelajar Prihatin Terhadap Pemeliharaan Alam Sekitar

Disiarkan pada 13 Jan 2025
Sumber Berita: UKAS


SARIKEI: Pihak sekolah digesa mempertingkatkan usaha dalam mendidik pelajar mengenai pentingnya pemeliharaan alam sekitar.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato' Sri Huang Tiong Sii berkata, ia merupakan satu usaha strategik untuk memastikan generasi muda lebih peka, bertanggungjawab dan proaktif dalam menangani isu-isu alam sekitar yang semakin mendesak, seperti perubahan iklim dan pencemaran global.

"Saya berharap setiap sekolah di negara ini dapat melaksanakan pelbagai program yang dapat merangsang minat serta semangat pelajar dalam pemeliharaan alam sekitar.

"Antara program yang boleh dilaksanakan adalah seperti 'Jom Beli Produk Hijau', 'Hari Alam Sekitar' atau 'Jom E-Waste',"katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Anthonians ke-38, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Anthony, di sini baru-baru ini.

Di samping itu, Dato' Sri Huang turut memuji inisiatif SMK St Anthony yang berjaya memanfaatkan teknologi dengan mengintegrasikan pedagogi digital dalam pengajaran dan pembelajaran.

Pendekatan ini jelasnya, bukan sahaja memperkayakan pengalaman pembelajaran, malah turut mempersiapkan pelajar dengan kemahiran abad ke-21 yang diperlukan dalam dunia yang serba moden ini.

Dalam ucapan sama, beliau yang juga Ahli Parlimen Sarikei telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM50,000 kepada sekolah tersebut, sebagai sokongan untuk memperkukuh usaha meningkatkan kualiti pendidikan dan kemudahan pembelajaran.

Seramai 445 pelajar cemerlang dalam pelbagai bidang diraikan dalam majlis itu, sebagai penghargaan atas pencapaian akademik dan kokurikulum mereka yang luar biasa.

Turut hadir ialah Pegawai Pendidikan Daerah Sarikei Lau Ngie Tung, Pengetua SMK St Anthony Vincent Liong, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Maureen Chua Geik Lian, Pegawai Strategik Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sarikei Ting Sing Teck, Pemanca Chan Phan Chan serta Bendahari PIBG Wong Siew Sie.-EDISI UKAS