Keindahan Semulajadi Di Pakan Berpotensi Jadi Sumber Ekonomi Dalam Sektor Pelancongan

Disiarkan pada 30 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS
SELASA, 30 APRIL 2024


PAKAN: Keindahan alam semulajadi berpotensi menjadi sumber ekonomi dalam sektor pelancongan bagi penduduk di Daerah Pakan.
 
Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah merangkap Ahli dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom berkata, semua ini boleh dijadikan sumber ekonomi dengan pelbagai aktiviti lasak seperti merentas hutan, perkemahan, berkayak dan ditambah lagi dengan penyediaan inap desa yang selesai bagi para pengunjung.
 
“Oleh itu adalah amat penting untuk memulihara dan mengekalkan alam sekitar serta ekosistem yang sedia di Daerah Pakan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Santai Ketua-ketua Kaum dan Masyarakat (KMKK) kawasan Nanga Wak bertempat di Dewan Terbuka SK Nanga Wak pada Isnin.
 
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan turut menyeru penduduk agar tidak mencemarkan alam sekitar khususnya sungai-sungai dengan membuang sampah sarap ataupun bangkai binatang untuk menjamin kebersihan dan keindahan alam semulajadi.
 
“Adalah menjadi satu cabaran besar untuk memberi kesedaran kepada rakyat dalam usaha mengekal serta memulihara alam semulajadi namun ianya tidak mustahil berjaya dilakukan jika dijalankan dengan betul.
 
“Pada masa yang sama peranan dan tanggungjawab Ketua-ketua Masyarakat dan Kaum perlu selari dengan dasar-dasar kerajaan dan wakil-wakil rakyat agar semua pembangunan dapat dinikmati rakyat selain membantu meningkatkan ekonomi setempat,” katanya lagi.
 
Selain itu tambahnya, pembangunan infrastruktur kerajaan juga telah banyak menyalurkan pelbagai bantuan samada kewangan mahupun bantuan dalam komuniti.-EDISI UKAS