BETONG: Seramai 70 penerima dari kawasan Betong menerima sumbangan keperluan harian sempena sambutan Tahun Baru Cina dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Warga Cina Sempena Tahun Baru Cina 2025 yang diadakan di Dewan Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Zhong Khor Betong, pada Sabtu.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu yang turut menyampaikan cek projek kecil luar bandar (MRP) kepada 16 pertubuhan dan persatuan Cina di kawasan Parlimen Betong.
Dalam ucapannya, beliau menyatakan program ini mencerminkan semangat perpaduan dan kepedulian masyarakat setempat yang amat penting dalam membantu golongan yang memerlukan terutama menjelang perayaan besar seperti Tahun Baru Cina.
Menurut beliau, Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Zhong Khor Betong, sebuah organisasi yang aktif membantu masyarakat setempat pada setiap perayaan utama seperti Tahun Baru Cina, Hari Raya dan Hari Gawai merupakan pihak utama yang menganjurkan program ini.
Sumbangan ini diharapkan dapat meringankan beban penerima dan memeriahkan sambutan Tahun Baru Cina mereka, selain mengukuhkan hubungan antara masyarakat setempat melalui semangat gotong-royong dan keprihatinan.
Majlis turut dihadiri oleh Pengerusi Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Zhong Khor Betong Chan Chu Chu, Temenggung Masyarakat Cina Bahagian Betong Kueh Tu Teck, Kapitan Own Chin Joo serta tetamu lain.-EDISI UKAS