DEBAK: Sekolah Kebangsaan (SK) Dit terus melakar kejayaan sebagai institusi pendidikan cemerlang dengan memberi fokus kepada penerapan minat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM).
Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu berkata sekolah itu juga komited berusaha meningkatkan kemahiran pelajar melalui pendekatan pembelajaran yang interaktif dan inovatif.
Katanya, pendekatan ini penting untuk mengatasi ketakutan pelajar terhadap subjek STEM khususnya Sains dan Matematik serta membina asas yang kukuh bagi kesinambungan pembelajaran di peringkat sekolah menengah.
“Sekolah rendah adalah masa terbaik untuk menerapkan minat dalam STEM.
"Pendekatan interaktif sangat diperlukan bagi menjadikan pembelajaran lebih menarik dan menyeronokkan,” katanya semasa berucap pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Sekolah Kebangsaan Dit Sesi 2024/2025 di Dataran Ilmu SK Dit baru-baru ini.
Dalam pada itu, Dato Dr Richard turut mengumumkan bahawa kerajaan Sarawak akan memperkenalkan kursus kritikal percuma di institusi pengajian tinggi (IPT) milik kerajaan Sarawak pada tahun 2026 selari dengan keperluan industri baharu.
Beliau turut menekankan kepentingan penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa global dalam menerokai bidang STEM selain mempertimbangkan sumbangan televisyen pintar untuk pembelajaran interaktif di sekolah.
“Kursus ini adalah peluang besar untuk anak-anak kita mempersiapkan diri menghadapi industri masa depan,” tambah beliau.
Bagi menyokong aktiviti sekolah, beliau mengumumkan sumbangan sebanyak RM4,000 untuk aktiviti PIBG SK Dit dan RM1,000 khas untuk menjayakan majlis tersebut.
Majlis pengiktirafan pelajar cemerlang adalah anugerah tahunan bagi menghargai kecemerlangan murid dalam bidang akademik dan kokurikulum dengan kehadiran ibu bapa dan ketua komuniti setempat.
Anugerah utama, Anugerah Emas Sesi 2024/2025, telah diserahkan kepada adik Mohammad Ar Rahman Wahab (Kategori Lelaki) dan adik Edzhah Nurinas Edie Rahmat (Kategori Perempuan).
Majlis turut dihadiri Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Betong Edie Rahmat Salleh, Guru Besar SK Dit Zariman Ali serta tetamu lain. – EDISI UKAS