BALINGIAN: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) memainkan peranan penting dalam memastikan kecemerlangan pelajar serta pembangunan keseluruhan persekolahan.
Menurut Timbalan Menteri Ekonomi, Dato Hanifah Hajar Taib, PIBG memberikan sokongan dari segi kewangan manakala pihak sekolah bertanggungjawab menyediakan pendidikan berkualiti kepada pelajar.
“Saya percaya, dengan adanya kerjasama erat antara PIBG dan sekolah, ia mampu melahirkan pelajar yang cemerlang bukan sahaja dalam akademik, tetapi juga dalam aspek lain.
“Teruskan usaha seperti ini agar kita dapat memastikan kecemerlangan akademik serta pembangunan diri pelajar dapat dicapai,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Rasmi Fiesta PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Parish di Dewan Masyarakat Balingian pada Ahad.
Dato Hanifah yang juga Ahli Parlimen Mukah menegaskan bahawa program seperti Fiesta PIBG ini penting untuk mengeratkan hubungan antara ibu bapa, guru, dan pihak sekolah.
Selain itu katanya, ia juga membantu menambah dana PIBG untuk memperkasakan usaha meningkatkan kepentingan pelajar.
Dalam pada itu, Guru Besar SK Parish, Rizalfaiza Merikan menyatakan bahawa Fiesta PIBG ini merupakan julung kali diadakan dan mendapat sambutan amat menggalakkan.
“Melalui penganjuran ini, peranan PIBG sebagai pelengkap kepada kegiatan sekolah dapat dilihat dengan jelas.
"Permuafakatan antara ibu bapa dan guru terbukti kukuh melalui persefahaman mereka terhadap tugas serta tanggungjawab bersama,” katanya.
Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program ini.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Yang Dipertua PIBG SK Parish Siti Hazerah Bolhi, Abdul Malik Talip dari Pejabat Daerah Kecil Balingian dan juga Penghulu Harbi Baker.-EDISI UKAS