TBS Terus Santuni Pelanggan Kawasan Matu Dan Daro

Disiarkan pada 30 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS



DARO: Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) terus menyantuni pelanggan dari kawasan Matu dan Daro dalam Majlis Hari Bersama Pelanggan Aidilfitri TBS, yang diadakan di Dewan Masyarakat Daerah Daro di sini pada Isnin.
 
Hari bersama pelanggan Aidilfitri adalah satu program untuk meraikan dan menyantuni pelanggan TBS Daro sebagai tanda penghargaan buat mereka yang terdiri dari kalangan pembayar zakat dan penerima bantuan TBS.
 
Keceriaan jelas terpancar di wajah kira-kira 350 tetamu yang hadir termasuk Ketua-ketua Jabatan, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Matu dan Daro serta Ahli JKP Masjid dan Surau kerana masih berpeluang duduk bersama dalam bulan Syawal berkongsi kegembiraan menyambut Aidilfitri dalam suasana yang sangat meriah.
 
Majlis diserikan lagi dengan pengisian  aktiviti-aktiviti seperti persembahan liveband, kuiz zakat, pertandingan photobooth Raya, cabutan bertuah, pertandingan booth Raya dan banyak lagi.
 
Hadir sama Majlis Ketua TBS Bahagian Mukah Osman Imun, Pemanca Daerah Daro Bujang Razeli, Pemanca Daerah Matu Asri Dollah dan Pemanca Kaum Cina Daro Lau Oi Phen.-EDISI UKAS