Kerajaan Sarawak Sasar Empat Juta Pelancong Pada 2024

Disiarkan pada 30 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pelancongan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) menyasarkan kemasukan empat juta pelancong ke negeri ini pada 2024.
 
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Negeri Sarawak (MTCP), Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata prestasi pelancongan Sarawak pada suku pertama 2024 anat memberangsangkan dengan mencatatkan 1.18 juta ketibaan pelawat dari Januari hingga Mac 2024.
 
Jelasnya, suku pertama merekodkan pendapatan pelancongan sebanyak RM3.07 bilion dengan pertumbuhan 31.2 peratus dalam tempoh yang sama pada 2023.
 
“Beberapa bulan pertama biasanya jumlah agak rendah, apabila kita beralih ke suku kedua, suku ketiga dan suku terakhir tahun ini, bilangan orang yang masuk sudah semestinya akan meningkat.
 
“Banyak acara menarik yang akan datang pada bulan seterusnya dan sudah tentu pada Jun kita ada acara tahunan terbesar iaitu ‘Rainforest World Music Festival’ (RWMF2024) yang akan diadakan pada 28 hingga 30 Jun ini.
 
"Kita menjangkakan 20,000 lagi pelancong akan datang dan ini sangat menarik bagi Sarawak."
 
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Duta Pelancongan Sarawak di Pustaka Negeri Sarawak pada Selasa.
 
Sementara itu, Datuk Sebastian menggalakkan seramai 1,500 peserta daripada Penjawat Awam Sarawak untuk menjadi duta pelancongan.
 
Katanya, dengan memperjuangkan pelancongan, Penjawat Awam Sarawak menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi, penciptaan pekerjaan dan pemeliharaan budaya.
 
Justeru, beliau amat menggalakkan Penjawat Awam Sarawak untuk melihat diri mereka sebagai penjaga pembangunan negeri serta diamanahkan dengan tugas penting untuk mempromosikan pelancongan di Sarawak.
 
“Sokongan anda memberikan kredibiliti dan kepercayaan, menarik pelawat untuk menerokai destinasi baharu dan memupuk rasa bangga di kalangan penduduk tempatan.
 
“Saya fikir ini penting supaya kita semua menjadi duta kita sendiri untuk mempromosikan apa yang ada di Sarawak, apa yang Sarawak tawarkan, tahu produk tradisional kita sendiri supaya kita boleh memasarkannya kepada orang ramai dan rakan-rakan kita,” tambah Datuk Sebastian.
 
Hadir sama Setiausaha Tetap MTCP Datu Sherrina Hussaini, Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak Dato Dennis Ngau, Ketua Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak Sharzede Datu Salleh, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak Wan Mazli Wan Razali serta tetamu lain.-EDISI UKAS