Pembinaan Struktur Berbumbung SK Bukit Nibong Kini Siap

Disiarkan pada 30 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS



BINTANGOR: Pembinaan struktur berbumbung di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Nibong, Skim B Meradong bernilai RM200,000 kini telah siap.
 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong yang mengambil masa lima bulan telah berjaya disiapkan lebih awal iaitu pada 21 April 2024 daripada tarikh akhir pelaksanaan iaitu 4 Mei 2024.
 
Justeru, Datuk Ding berasa amat gembira dan berpuas hati dengan kerja yang dilakukan, malah kontraktor yang dilantik melalui cabutan undi turut melaksanakan kerja mengikut proses kerja yang telah dicadangkan.
 
Beliau turut merakamkan terima kasih kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sarikei kerana sentiasa memastikan dan memantau pelaksanaan projek RTP yang telah diluluskan oleh Kerajaan Sarawak berjalan dengan lancar.
 
“Setiap pelaksanaan Projek RTP membuktikan kesungguhan kerajaan Sarawak untuk memastikan rakyat hidup dalam keadaan makmur dan sejahtera.
 
“Paling penting ia dapat memberi keselesaan dan manfaat kepada pihak sekolah SK Bukit Nibong tersebut,” katanya ketika ditemui media dalam Upacara Ringkas Penyerahan Tapak Projek RTP DUN Meradong di SK Bukit Nibong pada Isnin.
 
Hadir sama Penolong Jurutera JKR Bahagian Sarikei Ismawadi Iman, Penolong Kanan Guru Besar SK Bukit Nibong Azyyati Othman serta tetamu lain.-EDISI UKAS