KUCHING: Turbin gas berkuasa hidrogen akan disepadukan dalam kemudahan Turbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) di Miri sekaligus menjadikan Sarawak yang pertama menggunakan teknologi seumpamanya di rantau ASEAN.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, perkara ini mengukuhkan lagi kepentingan Sarawak dalam peralihan tenaga rendah karbon.
“Semasa lawatan saya ke Taman Hidrogen ‘Mitsubishi Heavy Industries’ di Takasago, Jepun, saya menyaksikan turbin gas berkuasa hidrogen bingkai besar pertama di dunia dan teknologi terobosan ini akan disepadukan ke dalam kemudahan CCGT Sarawak, mengukuhkan kepimpinan kami dalam peralihan tenaga rendah karbon.
“Pelan Jalan Gas Sarawak (SGR) mempercepatkan momentum ini dengan mewujudkan ekosistem tenaga yang meningkatkan akses kepada gas asli di seluruh Sarawak, menyokong pertumbuhan industri, penggunaan domestik dan kemakmuran ekonomi.
“Sebagai sebahagian daripada visi ini, terminal gas baharu ini akan membolehkan pengedaran yang lebih cekap, memberikan manfaat kepada isi rumah dan industri, seperti yang telah dinikmati oleh penduduk di Miri,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Amanat Perdana Premier Sarawak 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini pada Isnin.
Premier Sarawak menambah, bagi merealisasikan matlamat ini, Sarawak mesti mempunyai kawalan penuh ke atas bekalan dan pengedaran gasnya yang menjadi kunci utama untuk melaksanakan program yang memaksimumkan manfaat gas asli kepada rakyat.
Sebelum ini katanya, beliau telah melancarkan kemudahan CCGT bernilai RM2 bilion dengan kapasiti 500 megawatt (MW) di Miri, yang dijangka siap pada tahun 2027.
“Loji ini akan meningkatkan bekalan kuasa di utara Sarawak dan berpotensi memberi perkhidmatan kepada jiran terdekat, Sabah dan Brunei, dengan menggunakan campuran metana dan hidrogen untuk mengurangkan pelepasan dan meningkatkan kecekapan tenaga,” tambah beliau lagi.
Hadir sama Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri-Menteri Persekutuan dan Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Persekutuan dan Sarawak, Timbalan-Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Ketua-Ketua Jabatan, dif-dif kenamaan dan tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS