SIBU: Sarawak bakal melaksanakan projek jalan bertingkat pertama di kawasan tanah paya menggunakan teknologi baharu yang dijangka bermula selepas sambutan Hari Gawai tahun ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, jalan sepanjang 7 kilometer (km) yang menghubungkan Jalan Teku Pasai-Siong ke Kemuyang itu menggunakan pendekatan inovatif seperti Building Information Modelling (BIM) untuk memastikan ketahanan dan kecekapan pembinaan.
“Tanah paya ini, jika kita buat jalan biasa, kosnya murah pada awalnya, tetapi selepas tiga tahun akan mendap dan retak menyebabkan kos penyelenggaraan tinggi.
"Oleh itu, kita gunakan pendekatan baharu dengan membina jalan bertiang (elevated road), dan kini ada teknologi yang boleh kita gunakan untuk merancang yang disebut sebagai Building Information Modelling (BIM),”katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Jalan Teku Pasai Siong ke Kemuyang Sibu di sini pada Sabtu.
Tambah Datuk Patinggi Abang Zohari, jalan bertingkat ini juga dijangka membawa perubahan besar dengan mengurangkan masa perjalanan dari Teku Pasai Siong ke Desa Kemuyang daripada 30 minit kepada hanya tujuh minit.
“Jalan sepanjang kira-kira tujuh kilometer ini membolehkan kita tiba ke destinasi dalam hanya tujuh minit, berbanding jalan lama yang mengambil masa setengah jam,”ujar beliau.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir. Aidel Lariwoo, serta tetamu kenamaan yang lain.-EDISI UKAS