ADUN Ngemah Sempurna Majlis Pecah Tanah Tapak Rumah Beji

Disiarkan pada 30 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


SIBU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana telah menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Tapak Rumah Panjang Baharu di Rumah Beji, Bawan, Kanowit pada Ahad.
 
Dalam ucapan ringkasnya, Anyi menerangkan bahawa projek meratakan tapak rumah panjang baharu Rumah Beji tersebut dilaksanakan di bawah bajet projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Ngemah.
 
Beliau berharap agar projek tersebut dapat disiapkan mengikut jadual pembinaan dan mengikut skop kerja yang telah diluluskan.
 
Dalam pada itu, Anyi juga mahukan agar pihak yang terlibat iaitu Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Beji, kontraktor projek dan Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai agensi pelaksana dapat bekerjasama erat agar projek tersebut dapat dilaksanakan mengikut jadual pelaksanaannya.
 
Selain itu, beliau juga memaklumkan bagi JKKK yang ingin memohon projek RTP haruslah mengadakan mesyuarat terlebih dahulu.
 
“Surat permohonan projek RTP boleh dihantar ke Pusat Khidmat ADUN Ngemah di Pekan Kanowit beserta dengan minit mesyuarat JKKK yang terbabit.
 
“Minit mesyuarat tersebut diperlukan adalah bagi mengelakkan sesebuah JKKK menukar skop kerja sesuka hati selepas projek mereka mendapat kelulusan daripada pihak Unit Perancang Ekonomi, Kuching,” jelas beliau.
 
Mengenai isu tekanan air rendah bagi penempatan di Jalan Nibong Tada yang dibangkitkan oleh Tuai Rumah Beji, ADUN Ngemah menerangkan isu tersebut dijangka akan dapat diatasi apabila stesen pam penggalak di Durin telah beroperasi kelak.
 
Hadir bersama ialah Penghulu Ugap Seribu, Penghulu Uding Upak, Ketua Penerangan PRS Bahagian Ngemah Dr. Bill Adan, Setiausaha PRS Bahagian Ngemah Juat Jagok serta tetamu lain.-EDISI UKAS