Sokong Kempen Bumi Hijau, 150 Pokok Ditanam Di MRSM Bintulu

Disiarkan pada 30 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


BINTULU: Penganjuran Kempen Kesedaran dan Penanaman Pokok oleh Pejabat Wilayah Hutan Bintulu merupakan satu inisiatif Jabatan Hutan Sarawak dalam mempromosikan Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 juta pokok.

Dalam program tersebut Pejabat Wilayah Hutan Bintulu telah menyumbangkan sebanyak 150 pokok iaitu lima pokok spesies Belian, 10 pokok Asoka, 25 pokok Saga, 40 pokok Rhu Bukit, 9 pokok Yellow Palm, 19 Pokok Doa, tujuh pokok Yellow Bell, tujuh anak pokok bunga raya, 17 anak pokok bunga kertas dan 11 pokok kelapa pandan kepada Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bintulu.

Sumbangan sebanyak 150 pokok tersebut sangat bermanfaat bagi pihak sekolah dalam usaha melaksanakan program kelestarian alam sekitar melalui penanaman pokok dan keceriaan sekolah.

Menurut Pegawai Hutan Wilayah Bintulu Hwang Chiong Hee pada program diadakan pada Isnin itu, ia selaras dengan sambutan Hari Bumi 2024 yang diraikan pada 22 April setiap tahun.

Katanya, pemilihan tema Planet vs Plastik bertujuan menangani pencemaran plastik dan keperluan bertindak untuk mencapai sasaran pengurangan 60 peratus pengeluaran plastik global menjelang 2040.

Untuk rekod, Kerajaan Sarawak turut memastikan liputan hutan di Sarawak kekal kepada 62 peratus daripada keluasan negeri selaras dengan agenda penghijauan Malaysia melalui kempen penanaman 100 juta pokok (2021-2025) pada Januari 2021.

Dalam program tersebut terdapat dua sesi ceramah diadakan bertajuk Hutan dan Kepentingannya dan Penguatkuasaan Hutan yang dikendalikan oleh penceramah dari Pejabat Hutan Wilayah Bintulu.

Hadir sama Timbalan Pengetua (Kecemerlangan Akademik) MRSM, Hafizan Mohd Hassan dan Ketua Bahagian Perhutanan Sosial Suliman Jamahari. - EDISI UKAS