SUEF: Dana RM3.57 Juta Dikumpul Bantu Anak-Anak Sarawak Lanjut Pelajaran

Disiarkan pada 30 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Sumbangan sebanyak RM3.57 juta berjaya dikumpul daripada sektor swasta bagi Dana Pendidikan Perpaduan Sarawak (SUEF) untuk membantu anak-anak Sarawak melanjutkan pelajaran.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, SUEF adalah berketepatan dengan aspirasi Sarawak untuk mengutamakan pembangunan bakat dan modal insan, komponen kritikal bagi menyokong peralihan.

Sarawak ke arah ekonomi baharu berasaskan tenaga hijau, hidrogen dan teknologi digital.

“SUEF adalah untuk menyediakan bantuan kewangan untuk menyokong anak-anak Sarawak yang layak, berbakat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi dan memperoleh kemahiran di institusi yang diiktiraf,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian di sini pada Selasa.

Premier Sarawak menambah, dana itu adalah sebagainperangsang bagi mengembangkan, membangun dan membentuk bakat Sarawak dan generasi muda untuk memimpin pada masa hadapan sekaligus menjadi penyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran Sarawak.

Untuk rekod, bagi anak-anak Sarawak yang berkelayakan boleh memohon bantuan menerusi laman sesawang yang akan dibuka menjelang September nanti.

Hadir sama Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan Penasihat SUEF Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Dato Husain dan Pengerusi SUEF Datuk Richard Lee Say Tshin.-EDISI UKAS