Datuk Francis Tinjau Projek & Tamu Baharu Di Simanggang

Disiarkan pada 12 Jan 2025
Sumber Berita: UKAS


SIMANGGANG: Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis turun padang bagi meninjau beberapa buah projek dan pasar tamu yang baharu di sini pada Ahad.

Pada sebelah pagi, beliau berkesempatan untuk melihat sendiri suasana meriah dengan aktiviti jual beli hasil tanaman di pasar tamu Simanggang, lebih-lebih lagi pada musim buah-buahan kali ini.

Datuk Francis dalam pada itu menekankan signifikannya pasar tamu ini, membukti janji Kerajaan Sarawak untuk membangunkan serta meningkatkan pendapatan rakyat khususnya di kawasan luar bandar.

Tinjauan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang itu kemudiannya diteruskan ke beberapa projek termasuklah pembinaan baharu Rumah Panjang Japing, Jalan Paip dan tapak cadangan membina baharu Rumah Panjang Thomas Barau.

Selain itu, beliau turut mengadakan lawatan ke projek pembinaan jambatan konkrit yang merentasi Sungai Undop di Kampung Beleti Sabu, yang mana dijalankan di bawah Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA).

Dalam lawatan tersebut, beliau berharap pihak kontraktor dapat memberikan hasil kerja yang berkualiti, di samping memastikan projek berkenaan dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

Kesemua lawatan beliau pada kali ini membuktikan komitmen beliau selaku wakil rakyat di sini dalam memastikan keperluan rakyat serta projek diberi perhatian sepenuhnya. -EDISI UKAS