Kepimpinan Berani Premier Sarawak Bawa Wilayah Ini Ke Era Baharu

Disiarkan pada 12 Jan 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kepimpinan berani yang ditonjolkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berjaya membawa wilayah ini ke era baharu.

Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof memberitahu, keberanian dan kreativiti Datuk Patinggi Abang Zohari dalam mencari sumber ekonomi wilayah ini membuahkan hasil apabila Sarawak mengumumkan bajet yang luar biasa kian tahun.

Menurut beliau, kejayaan ini membuktikan kebijaksanaan Premier Sarawak dalam mentadbir urus dan memanfaatkan segala sumber yang ada di wilayah ini, sehingga berjaya meletakkan Sarawak di peta dunia.

“Ini merupakan satu komitmen yang menunjukkan Premier Sarawak kita merupakan seorang yang berpandangan jauh dan juga kreatif serta tidak takut untuk menceburi bidang-bidang baharu sehinggakan diiktiraf sehingga ke peringkat antarabangsa,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas menyempurnakan Karnival Singgah Lok Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang berlangsung di Petra Jaya di sini pada Ahad.

Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyeru kepada rakyat di Sarawak untuk terus memberi sokongan kepada Datuk Patinggi Abang Zohari untuk membawa wilayah ini menempa kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan.

Untuk rekod, Datuk Patinggi Abang Zohari telah memimpin Sarawak selama lapan tahun, dengan menyaksikan pelbagai kejayaan terutamanya dalam ekonomi digital dan peralihan kepada penggunaan tenaga hijau sehingga berjaya menjadikan Sarawak sebagai peneraju dalam bidang berkenaan.

Menyentuh mengenai program pada petang itu, Dato Sri Fadillah selaku Ahli Parlimen Petra Jaya menzahirkan ucapan tahniah kepada Sahabat AIM di kawasan beliau yang terdiri daripada 1,200 usahawan wanita yang menjayakan karnival kali ini.

Menurut beliau, Sahabat Usahawan AIM bagi wilayah Sarawak adalah sebanyak 42,957 orang dengan 3,571 daripada jumlah tersebut berasal dari Kuching.

Bagi jumlah pembiayaan pula, Sahabat Usahawan AIM Sarawak menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dengan hanya 0.02 peratus (daripada RM262.2 juta) masih belum berjaya dibayar balik pinjamannya.

“Sokongan yang berterusan daripada AIM inilah yang menjadi pemangkin kepada kejayaan pengusaha-pengusaha yang telah mendapat pinjaman.

“Kalau mereka tak berjaya, mereka tak akan dapat membayar pinjaman dan sebab itu kadar bayaran balik pinjaman itu begitu kecil sekali, 0.02 peratus sahaja, maknanya usaha mereka berjaya sebab itu orang dapat membayar balik,” jelas beliau lagi. -EDISI UKAS