DARO: Dalam usaha mempercepat transformasi digital di kawasan luar bandar, Kerajaan Sarawak telah melancarkan versi terbaharu Sarawak Rural Broadband Network (MySRBN) yang menawarkan kemudahan lebih baik untuk warga setempat.
Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri untuk meningkatkan akses komunikasi dan membawa kawasan terpencil ke dalam arus pembangunan digital negara.
“MySRBN yang ditingkatkan ini telah menerima sambutan yang memberangsangkan dengan pendaftaran meningkat kepada 431 ahli dalam masa singkat, dan angka ini terus meningkat.
“Program ini memanfaatkan menara pintar yang dibangunkan oleh SDEC (Sarawak Digital Economy Corporation) dan bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk memastikan kemudahan MySRBN juga tersedia di menara Jendela pada masa depan,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Liputan Baharu MySRBN Sarawak di Pulau Bruit, Daro pada Ahad.
Selain itu, Dato Sri Julaihi turut menyaksikan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) di antara SDEC dan U Mobile.
Sementara itu,,Dato Sri Julaihi Kerajaan menambah, Sarawak telah menyediakan peruntukan RM2.3 bilion untuk membangunkan Program Saluran yang termasuk pembinaan 618 menara di seluruh negeri ditambah dengan 18 menara tambahan untuk memperluas liputan ke kawasan terpencil.
Ujarnya menerusi inisiatif ini, kos sebenar untuk akses bulanan MySRBN perkhidmatan diturunkan dari RM70 kepada RM20, di mana selebihnya ditanggung oleh kerajaan menerusi subsidi yang telah ditetapkan.
Selain memfasilitasi komunikasi yang lebih baik, MySRBN juga bertujuan untuk meningkatkan penyertaan penduduk luar bandar dalam ekonomi digital, terutama sekali dalam perniagaan atas talian.
“Produk tempatan seperti sos unjur dan songket Belawai kini boleh dipasarkan secara lebih meluas melalui transaksi digital, membuka lebih banyak peluang bagi PKS di Sarawak untuk berkembang dan mencapai pasaran yang lebih luas,”ujarnya.
Jelasnya lagi, Kerajaan Sarawak komited untuk memastikan semua penduduk, termasuk mereka di kawasan luar bandar, mendapat manfaat dari pembangunan digital dan makin mendekati sasaran untuk menjadi wilayah berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.
Hadir sama, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak Hal Ehwal Korporat, Penerangan & UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Ahli Parlimen Tanjung Manis, Ir Yusuf Abdul Wahab, Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, Ketua Pegawai Eksekutif SDEC, Dato Ir Ts Sudarmoto Osman, Residen Bahagian Mukah, Datu Kueh Lei Poh, Pengarah SKMM Sarawak, Adiman Ajem serta tetamu yang lain.-EDISI UKAS