DARO: Masyarakat luar bandar Sarawak kini tidak perlu tergesa-gesa untuk mendaftar Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), kerana Kerajaan Sarawak telah merancang kempen jelajah sepanjang tahun ini untuk membantu proses pendaftaran.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, memberi jaminan bahawa agensi kerajaan dan Pusat Khidmat akan bergerak ke kawasan pedalaman untuk memastikan semua yang layak menerima bantuan ini.
“Kempen ini bertujuan memastikan tiada golongan yang tercicir, terutamanya masyarakat di kawasan luar bandar.
“Usaha ini selari dengan komitmen Kerajaan Sarawak untuk memperkasakan rakyat melalui ekonomi digital,” katanya semasa sidang media selepas Majlis Pelancaran Liputan Baharu MySRBN di Pulau Bruit, Daro, pada Ahad.
Datuk Abdullah turut memaklumkan bahawa bagi permohonan yang ditolak, rakyat boleh mengemukakan rayuan, asalkan mereka memenuhi syarat seperti memiliki indikator ‘K’ pada Kad Pengenalan.
Beliau menegaskan bahawa pembangunan infrastruktur digital, termasuk liputan internet di kawasan luar bandar, adalah salah satu sebab utama SKAS diperkenalkan dalam bentuk baucar digital.
“Langkah ini bukan sahaja memudahkan pembelian barangan keperluan tetapi juga mendidik masyarakat luar bandar tentang kepentingan teknologi digital dalam kehidupan harian,” tambahnya.
Pengenalan liputan baharu MySRBN di Pulau Bruit, yang menjadi sebahagian daripada inisiatif ini, dijangka mempercepatkan usaha mendigitalkan kawasan luar bandar.
“Dengan kemudahan MySRBN, masyarakat kini mempunyai akses lebih mudah kepada internet, menjadikan proses pendaftaran SKAS lebih lancar,” jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa misi ini bukan sahaja membantu pendaftaran tetapi juga meningkatkan celik digital rakyat, sejajar dengan visi Kerajaan Sarawak untuk menjadikan teknologi digital sebahagian daripada kehidupan seharian.
Dalam sidang media tersebut, Datuk Abdullah turut menyeru rakyat agar memberi kerjasama kepada pasukan jelajah dan memanfaatkan kemudahan yang disediakan.
“Kerajaan komited untuk memastikan bantuan SKAS sampai kepada semua yang layak, tanpa mengira lokasi,” katanya.
Dengan usaha menyeluruh ini, Sarawak terus membuktikan komitmennya dalam memperjuangkan kesejahteraan rakyat luar bandar melalui pendekatan digital dan inovatif. -EDISI UKAS