Masyarakat Umum Dimohon Tidak Buat Spekulasi Negatif Operasi Rabies

Disiarkan pada 30 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Masyarakat umum dimohon untuk tidak membuat spekulasi negatif mengenai Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Rabies Sarawak yang giat dilaksanakan bermula 29 April lepas hingga 3 Mei depan.

Ini kerana tindakan sesetengah orang awam yang mengambil gambar dan video pihak penguatkuasa semasa bertugas kemudian memuat naik di media sosial bukan sahaja mengganggu proses operasi malah menimbulkan perspektif negatif terhadap operasi ini. 

Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Rabies Sarawak dibuat sepenuhnya berasaskan Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 yang menuntut pemilik mendaftarkan dan memvaksinkan anjing peliharaan mereka. 

Selain itu, sebarang tangkapan anjing yang dibuat sepanjang operasi ini mendapat kebenaran pemilik anjing yang gagal mengemukakan sebarang dokumen pemeliharaan anjing di kawasan rumah. 

Sementara itu, anjing liar yang tiada pemilik turut ditangkap dan diletakkan di tempat kurungan haiwan bagi mengelakkan wabak Rabies terus berlaku.  

Kerajaan Sarawak memandang serius perkara melibatkan wabak membunuh ini dalam usaha mencapai sifar Rabies menjelang 2030. 

Sehubungan dengan itu, orang ramai sekali lagi dinasihatkan untuk memberi kerjasama sepenuhnya dalam menjayakan operasi kali ini. 

Dalam pada itu, ketika ditemui media, salah seorang pemilik anjing, Ong Su Bing menyeru agar pemilik anjing yang belum memvaksinkan anjing mereka untuk segera menghantar ke pihak yang bertanggungjawab. 

“Saya menasihati semua pemilik anjing untuk memvaksinkan segera anjing-anjing mereka. 

“Operasi seperti ini amat positif kerana ianya memberi kesedaran kepada komuniti,” jelasnya. 

Manakala itu, Dina Chong menasihati pemilik anjing supaya sentiasa memastikan anjing peliharaan mereka diikat atau diletakkan dalam kawasan rumah agar tidak mendatangkan masalah kepada orang awam yang lain. 

“Pemilik anjing sepatutnya mengurung anjing mereka dalam kawasan rumah sekiranya tidak diikat supaya anjing tidak berkeliaran di jalan dan mengigit orang awam sehingga menyebabkan penyakit Rabies. 

“Harap semua orang dapat bekerjasama dalam hal ini,” jelas Dina. -EDISI UKAS