SRI AMAN: Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis telah menyalurkan sebanyak RM15,000 di bawah dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) Simanggang.
Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, pemberian dana tersebut bertujuan untuk membiaya aktiviti prasekolah yang telah dirancang, membuktikan lagi komitmen tinggi Kerajaan Sarawak dalam memperkasakan pendidikan sejak awal.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Graduasi Tadika Simanggang Ke-46 yang diadakan di Dewan Suarah Sri Aman pada Jumaat.
Dalam majlis tersebut, seramai 53 orang kanak-kanak berumur enam tahun telah diraikan atas kejayaan mereka menamatkan fasa prasekolah, sebelum memasuki persekolahan arus perdana pada pertengahan bulan Mac ini nanti.
Menariknya, Tadika Simanggang merupakan sebuah prasekolah yang menggunakan Bahasa Mandarin sebagai bahasa utama, namun masih membuka kemasukan kepada semua kaum di Bandar Simanggang.
Hadir sama, Pengerusi Persatuan Soon Heng Simanggang Tay Chiew Hua, Pengerusi Lembaga Pengurusan Tadika Simanggang Goh Kaw Sze, Guru Besar Tadika Simanggang Tay Siew Lang dan Penghulu Tiong Chong Onn. -EDISI UKAS