SIBU: Rakyat di negeri ini digesa untuk lebih berani mengadaptasi teknologi khususnya dalam penggunaan aplikasi e-dompet Sarawak Pay (S Pay Global), sebagai platform utama untuk menyalurkan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg percaya, walaupun ada yang masih ragu, namun rakyat Sarawak mampu menguasai teknologi ini.
Menurutnya, ia telah terbukti ketika pandemik COVID-19, di mana semua pihak beralih kepada penggunaan platform digital dengan mudah dan cekap.
“Ramai cakap tidak reti menggunakan S-Pay, tapi cuba dulu. Semasa COVID-19 dulu pun sama, semua menggunakan online.
"Apabila kita cuba, boleh pandai. Orang yang menjual ikan pun pandai, jangan pandang rendah pada kebijaksanaan rakyat kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Tengah, di sini pada Sabtu.
Datuk Patinggi Abang Zohari turut menegaskan pentingnya pembelajaran teknologi digital.
Katanya, usaha ini diharap dapat memperkasakan rakyat Sarawak untuk lebih celik teknologi sambil memastikan kebajikan mereka terjamin melalui inisiatif digital seperti SKAS.
“Ramai mempersoalkan apa yang saya lakukan dengan ekonomi digital, tetapi apabila COVID-19 melanda, semua pandai menggunakan pembelian secara talian.
"Saya juga menggunakan S-Pay, maknanya sesiapa yang tidak pandai itu kita ajar,” jelas beliau.
SKAS menawarkan bantuan sekali bayar antara RM250 hingga RM800 setahun bergantung kepada kategori kelayakan penerima, iaitu golongan bujang, isi rumah, dan warga emas.
Berdasarkan data penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR), sejumlah 886,288 orang layak menerima SKAS dengan nilai keseluruhan bantuan berjumlah RM464.5 juta.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi dan dif-dif kenamaan yang lain.-EDISI UKAS