Sarawak Terajui Tenaga Hijau, Projek Malaysia-Jepun Dimuktamad Mei

Disiarkan pada 11 Jan 2025
Sumber Berita: UKAS


SIBU: Sarawak bersiap sedia untuk mencipta sejarah dengan melaksanakan projek tenaga hijau berskala besar hasil kerjasama strategik bersama Jepun.

Menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, langkah itu bakal menjadikan negeri ini sebagai pemangkin utama tenaga bersih di Malaysia, dengan projek tersebut dijangka dimuktamadkan menjelang Mei ini.

“Perdana Menteri sendiri mengiktiraf bahawa Sarawak adalah satu-satunya negeri yang mampu menyumbang secara signifikan kepada pengurusan perubahan iklim,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Tengah, di sini pada Sabtu.

Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu menjelaskan Sarawak akan mengembangkan industri kimia tenaga hijau dengan menambah loji ammonia baharu, melengkapkan kemudahan metanol sedia ada di Bintulu.

“Disebutnya bahawa Sarawak dan Jepun akan mengeluarkan ammonia. Kita sudah ada metanol kepunyaan Sarawak di Bintulu. Kita akan mengeluarkan kilang ammonia juga. Dengan adanya sumber kita.

“Dan ini adalah satu pelan raksasa di antara Malaysia dan Jepun. Dan diharapkan dapat dimuktamadkan pada Bulan Mei. Malaysia tempatnya adalah Sarawak,”katanya.

Premier Sarawak turut menyatakan pandangan pakar yang menjangkakan perubahan besar dalam sektor tenaga dunia dalam tempoh lima tahun akan datang di mana tenaga sintetik akan menggantikan sumber tradisional seperti minyak dan gas.

“Dengan mencampurkan karbon dan hidrogen hijau, kita boleh menghasilkan gas sintetik yang mampu menjadi sumber tenaga utama dunia,” jelasnya.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi dan dif-dif kenamaan yang lain.-EDISI UKAS