SIBU: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) terus mengukuhkan peranan generasi muda sebagai pemangkin utama kemajuan Sarawak.
Setiausaha Agungnya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata golongan muda berperanan penting dalam menjadi aset berharga yang akan meneruskan legasi parti serta mencetuskan inovasi untuk memastikan negeri ini kekal kompetitif di persada global.
“Generasi muda adalah pemimpin masa depan yang membawa harapan dan aspirasi baharu kepada PBB.
“Mereka harus tampil sebagai agen perubahan, pembawa idea segar, dan penggerak inovasi untuk terus mengangkat Sarawak di pentas antarabangsa,” katanya semasa menyampaikan ucapan dalam Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Cawangan-Cawangan Parti Pbb Sarawak Zon Tengah di Stadium Tertutup Sibu, pada Sabtu.
Beliau turut menyeru semua ahli PBB untuk terus memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan Premier Sarawak dalam memastikan kejayaan pelan pembangunan Sarawak Maju Makmur 2030.
Perpaduan yang kukuh dalam kalangan ahli parti tegasnuya adalah kunci utama kepada kejayaan PBB.
“Parti kita adalah tunjang kepada kestabilan politik dan sosial negeri ini. Kita semua mempunyai tanggungjawab untuk memastikan setiap agenda yang dirancang berjaya dilaksanakan dengan berkesan,” ujarnya.
Mengulas mengenai tema persidangan, “PBB Tonggak Kepada Kestabilan, Kemajuan dan Kelestarian Sarawak,” beliau menyifatkan tema ini sebagai cerminan kepada matlamat besar PBB untuk menjadikan Sarawak sebuah negeri yang stabil, makmur, dan progresif.
“Sejak ditubuhkan, PBB telah menjadi simbol perpaduan dan kesetiaan. Parti ini terus kukuh tanpa perpecahan kerana berdiri teguh di atas prinsip setia kawan dan tanggungjawab bersama dalam mendahulukan kepentingan rakyat,” tambah beliau.
Majlis yang berlangsung meriah itu turut menyaksikan penglibatan aktif golongan muda, sekaligus mencerminkan keyakinan terhadap masa depan cerah PBB dalam terus menerajui pembangunan Sarawak.
Turut hadir, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar dan dif-dif kenamaan yang lain.-EDISI UKAS