Ordinan Bangunan Akan Dibentang Tahun Ini

Disiarkan pada 11 Jan 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Ordinan baharu yang melibatkan pembinaan bangunan akan dibentang pada tahun ini, sebagai langkah seterusnya wilayah ini ke arah kemampanan alam sekitar.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg mengkehendakkan Indeks Bangunan Hijau atau lebih dikenali sebagai ‘Green Building Index’ (GBI) harus dimasukkan dalam pembinaan bangunan.

Jelasnya, GBI ini nanti akan memantau segala proses dan ciri-ciri bangunan termasuklah bahan binaan sebelum mengiktiraf bangunan yang dibina adalah hijau dan mesra alam.

“GBI ini tidak hanya melihat kepada bangunan yang telah siap tetapi melibatkan seluruh ekosistemnya termasuk simen yang digunakan untuk membina bangunan.

“Anda (pembangun hartanah) mungkin mempunyai bangunan yang sangat hijau, tetapi simen anda sangat tidak mesra alam dan anda perlu melihat kepada pengeluaran tenaga anda, adakah ia mesra alam atau tidak?” ujar beliau.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Pelancaran d’Isabelle, sebuah kondominium hijau pertama Sarawak, di sebuah hotel terkemuka di sini pada Sabtu.

Datuk Amar Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak menambah, pembentangan ordinan baharu ini nanti akan mengubah cara pembangunan di Sarawak, seiiring dengan matlamat wilayah ini yang mementingkan pembangunan yang mampan dan lestari.

Untuk makluman, GBI adalah badan pensijilan terbesar dan pertama yang diasaskan di Malaysia, terkenal dengan kriteria mereka yang ketat, yang dibangunkan oleh Institut Arkitek Malaysia (PAM) dan Persatuan Jurutera Perunding Malaysia (ACEM).

Menurut Pengarah RJ Group Ryonna Chuo, pada masa di mana hanya 35 peratus daripada bangunan yang dihantar mencapai akreditasi GBI, d'Isabelle telah berjaya mengatasi cabaran tersebut, menetapkan piawaian baharu kepada pembangunan bangunan hijau di Sarawak.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat RJ Datuk Lily Lim, Pemilik Hotel Sheraton Kuching Tan Sri Yee Ming Seng, Pengarah Eksekutif Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) Tan Sri Wilson Baya Dandot, Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Sarawak (SCCI) Dato Sri Abang Abdul Karim Tun Datuk Abang Openg, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Dato Ir Lo Khere Chiang, Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan Datuk Peter Minos serta tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS