KUCHING: Inns of Court Malaysia (ICM), sebuah badan keahlian profesional yang terkenal dalam kalangan pengamal undang-undang, berhasrat untuk mengembangkan aktivitinya ke Malaysia Timur, khususnya di Sarawak dan Sabah.
Presidennya, Tun Arifin Zakaria berkata, langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk mencapai misi utama ICM dalam meningkatkan kecemerlangan profesional perundangan di seluruh negara.
Menurut beliau, pengembangan inisiatif ICM ke luar Semenanjung Malaysia telah menjadi kenyataan melalui sumbangan kewangan daripada Timbalan Perdana Menteri yang juga bekas peguam bela dan peguam cara, Dato' Sri Fadillah Yusof, pada tahun lepas.
"Sokongan daripada Dato' Sri Fadillah sangat penting dalam membolehkan kami meluaskan aktiviti ICM, seperti seminar dan pertukaran idea undang-undang, ke Malaysia Timur.
"Inisiatif ini direka untuk meningkatkan pengetahuan perundangan dan terbuka kepada semua profesional undang-undang yang berkelayakan, termasuk mereka dalam perkhidmatan undang-undang, peguam dalaman, peguam bersara, hakim dan juga hakim bersara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, di Astana Negeri Sarawak, di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Tun Arifin memberitahu, ICM turut menyediakan sebuah platform khas yang menghimpunkan pelbagai pihak dalam bidang undang-undang, termasuk hakim, peguam, dan ahli akademik, untuk saling bertukar idea dan pandangan selaras dengan slogan ICM, 'A Home For The Whole Spectrum Of Law Professionals'.
Inisiatif ini katanya, bertujuan memperkukuh hubungan dan semangat kerjasama, di samping memupuk kecemerlangan dalam etika profesional dan pengetahuan undang-undang yang lebih mendalam dalam kalangan mereka.
Tambah beliau, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi juga menyatakan kegembiraan dan sokongan padu terhadap inisiatif ini, sambil menekankan kepentingan jangkauan ICM ke Sarawak, bagi memastikan wilayah ini mendapat manfaat daripada kemajuan undang-undang dan inisiatif perkongsian pengetahuan yang sama seperti di Semenanjung Malaysia.
Untuk rekod, Ahli-ahli ICM terdiri daripada hakim, hakim bersara, peguam, pakar undang-undang, ahli akademik perundangan, para pegawai kehakiman dan undang-undang, peguam korporat, pelajar undang-undang dan profesional guaman lain dari semua peringkat latar belakang.- EDISI UKAS