Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Rabies Sarawak: 36 Kompaun Dikeluarkan Setakat 29 April

Disiarkan pada 30 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Sebanyak 36 kompaun telah dikeluarkan setakat 29 April 2024 sempena pelancaran Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Rabies Sarawak. 

Daripada jumlah tersebut, 20 kompaun dikeluarkan oleh Majlis Daerah manakala 16 kompaun diisukan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVS) yang melibatkan anjing yang tidak divaksin. 

Sementara itu, Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) telah berjaya mendaftarkan 18 ekor anjing manakala pihak DVS dengan kerjasama Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) berjaya memvaksinkan 26 ekor anjing pada hari yang sama. 

Untuk rekod, Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Rabies Sarawak pada hari pertama berjaya mengadakan pemeriksaan di 340 buah rumah. 

Operasi pada hari kedua dijalankan pada Selasa memberi perhatian khusus di kawasan ‘panas’ kes Rabies iaitu di Desa Wira. 

Setakat ini, operasi berjalan dengan lancar walaupun terdapat perselisihan kecil antara pemilik anjing dengan pihak penguatkuasa. 

Namun, sikap profesional yang ditunjukkan oleh penguatkuasa yang bertugas berjaya menyelesaikan masalah-masalah yang berlaku semasa di lapangan. 

Untuk makluman, semua anjing yang ditangkap dan diletakkan di tempat kurungan haiwan kini mendapat persetujuan pemilik anjing berkenaan. 

Operasi akan diteruskan ke kawasan Landeh, Padawan pada 2 Mei depan. -EDISI UKAS