Pengamal Media Diseru Bantu Kekang Penyebaran Berita Palsu

Disiarkan pada 10 Jan 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Pengamal media di Sarawak diseru membantu mengekang penyebaran berita mahupun maklumat palsu terutamanya di media sosial.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, kemajuan dalam bidang digital dan telekomunikasi memberi ruang kepada pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menyalahgunakannya, lebih-lebih lagi dengan bantuan Kecerdasan Buatan (AI).

Tegasnya, pengamal media harus peka dengan berita di media sosial, dengan membuat laporan segera bagi mengelakkan rakyat terpedaya dengan berita palsu.

“Seseorang perlu menegaskan perkara ini, kerana jika tidak, orang tidak akan tahu.

“Mereka benar-benar menyangka saya ada menjual produk yang sebenarnya tidak wujud dan perkara-perkara ini dijangkakan akan lebih kerap berlaku.

“Jadi, setiap seorang daripada anda mesti melaporkannya dan menyorotkannya selalu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Makan Malam Media sempena Sambutan Tahun Baru Cina 2025 di sebuah hotel di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Datuk Amar Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak menggalakkan pengamal media supaya memanfaatkan sepenuhnya teknologi AI untuk meningkatkan kualiti penulisan laporan berita.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Dr Penguang Manggil, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Dato Ir Lo Khere Chiang, ADUN Kota Sentosa Wilfred Yap Yau Sin, ADUN Meradong Datuk Ding Kuong Hiing, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Dato Wee Hong Seng dan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Tan Kai. -EDISI UKAS