Sarawak Sasar SSL Beras Mencukupi Menjelang 2027

Disiarkan pada 30 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


BINTULU: Kerajaan Sarawak menyasarkan Tahap Sara Diri (SSL) dalam produktiviti pengeluaran beras yang cukup bagi memenuhi permintaan menjelang 2027.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, produktiviti pengeluaran beras perlu dipertingkatkan kerana pada masa kini ia hanya sebanyak 35 peratus.

Menurutnya, pada masa yang sama, kerajaan Sarawak berusaha menyediakan pelbagai inisiatif untuk memangkinkan pembangunan di peringkat kampung, rumah panjang, luar bandar dan bandar, contohnya projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang memfokus pada peruntukan atau geran projek.

“Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg komited dalam meneliti langkah-langkah untuk kerajaan Sarawak menambah pendapatan serta kenaikan jumlah pendapatan Sarawak dapat bandingkan pada tahun-tahun sebelum ini iaitu dianggarkan sebanyak RM5 billion atau RM6 bilion manakala kini jumlah pendapatan bertambah hingga mencecah RM13 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan kepada masjid dan surau bagi DUN Kemena dan Samalaju pada Ahad.

Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dalam ucapannya berkata bidang pertanian pada ketika dahulunya hanya dipelopori oleh golongan yang berpendapatan rendah.

Namun pada masa kini pertanian merupakan industri makanan yang dapat mengurangkan aktiviti pengimportan makanan sekaligus meningkatkan pendapatan para petani diluar bandar amnya, ujarnya.

Dalam majlis tersebut sebanyak tiga masjid dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemena menerima sumbangan masing-masing berjumlah RM10,000 daripada Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia, manakala dua surau masing-masing menerima sumbangan sebanyak RM5,000.

Bagi DUN Samalaju, tujuh masjid menerima sumbangan masing-masing berjumlah RM10,000 dan enam Surau masing-masing menerima RM5,000.

Hadir sama Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Sayed Ismail Nasiruddin Dato' Sri Wan Hashim.-EDISI UKAS