SPAOH: Bebuling Agropark, projek pembangunan pertanian seluas 300 hektar di Spaoh, dijadualkan memulakan pembangunannya tahun ini.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas memaklumkan bahawa enam syarikat besar telah menyatakan minat untuk menyertai projek ini.
“Syarikat-syarikat ini adalah pelopor pertanian moden dari Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
Bidang kepakaran mereka termasuk penanaman sayur-sayuran, buah-buahan, serta penternakan ayam dan udang kara,”katanya dalam satu majlis penyerahan bantuan baja di sini pada Jumaat.
Beliau menambah, tiga syarikat akan dipilih untuk menjadi “syarikat anchor,” dengan peranan membimbing petani kontrak serta menyediakan bahan penanaman dan pembiakan.
Datuk Amar Douglas yakin projek ini mampu menjadi pemangkin perubahan bagi meningkatkan produktiviti dan pendapatan petani.
“Pertanian moden berasaskan teknologi akan menjadikan kerja-kerja pertanian lebih mudah, produktif, dan menguntungkan.
Kami mahu petani meningkatkan pengeluaran untuk menambah pendapatan mereka. Generasi muda juga perlu lebih responsif terhadap pendekatan pertanian moden ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban itu turut berkongsi visi untuk menjadikan kawasan Bukit Saban sebagai hab pengeluaran makanan utama di Bahagian Betong.
Sebagai sokongan, sebuah pusat pengumpulan, pemprosesan, dan pembungkusan sedang dibina berhampiran Bebuling STOLport yang juga dalam pembinaan.
“STOLport ini akan memudahkan pengangkutan hasil tani ke pasaran dengan lebih pantas,” jelas beliau.
Dalam majlis itu, sebanyak 2,988 beg baja bernilai RM500,000 diagihkan kepada 249 pekebun kecil dari 65 rumah panjang dan kampung di kawasan Spaoh, Bukit Saban, Debak, dan Betong.-EDISI UKAS